Meninggalkan Puasa Ramadan (2/3)


ramadan1Meninggalkan Puasa Ramadan (2/3)

Bilakah diwajibkan qada, fidyah dan kaffarah

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

iii) ORANG perempuan yang dalam keadaan haid dan nifas tidak wajib dan tidak sah menunaikan puasa Ramadan. Walau bagaimanapun adalah wajib ke atas mereka qada puasa yang tertinggal itu apabila perempuan tersebut suci daripada haid dan nifas. Hal ini berdasarkan riwayat Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:

“Kami diperintahkan mengqada puasa dan tidak diperintahkan mengqada sembahyang.” (Hadis riwayat Muslim).

Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur syar’i adalah wajib ke atasnya mengqada puasa yang ditinggalkan itu dan dikira sebagai menderhaka kepada Allah Subhanahu Wataala kerana meninggalkannya dan pemerintah berhak menghukum (ta’zir) ke atas mereka. Perbuatan meninggalkan puasa Ramadan itu sangat merugikan dirinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan dengan tiada keuzuran dan tidak sakit, dia tidak akan dapat menggantikannya dengan puasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Bukhari).

Para ulama berselisih pendapat tentang fidyah terhadap orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur. Menurut pendapat yang ashah di kalangan ulama-ulama Syafi’e orang sedemikian wajib ke atasnya fidyah. Mereka beralasan jika orang yang mempunyai keuzuran seperti perempuan yang menyusukan anak diwajibkan ke atasnya fidyah, bagaimana pula tidak wajib bagi orang yang sengaja meninggalkannya tanpa uzur?

Wanita hamil atau wanita yang menyusukan anak juga diharuskan berbuka puasa. Jika dia takut akan mudarat ke atas dirinya maka wajib ke atasnya qada puasa yang ditinggalkannya itu. Jika dia takut akan mudarat kepada diri dan kandungannya maka hukumnya sama juga sebagaimana dikenakan ke atas orang yang sakit dan musafir.

Orang Yang Diwajibkan Qada Dan Fidyah

Adalah menjadi kewajipan mengqada puasa bagi orang-orang yang meninggalkannya dengan sengaja atau dengan sebab keuzuran syar’i. Di samping itu ada juga orang-orang yang meninggalkannya ditentukan ke atasnya membayar fidyah.

Fidyah ialah memberi makan orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa jua bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai gantian bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan satu mudd itu bersamaan 15 tahil (566.85 gram).

Bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak, jika dia takut akan mudarat kepada anaknya disebabkan dia berpuasa, maka dia diharuskan berbuka dan wajib mengqada puasa tersebut. Selain itu dia juga wajib fidyah kerana dia berbuka untuk menyelamatkan nyawa dan tidak berupaya menunaikan puasa.

Perkara ini berdasarkan satu riwayat yang menyebutkan bahawa Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudarat kepada anaknya, adakah ke atasnya berpuasa? Lalu beliau berkata yang maksudnya:

“Berbuka dan berilah satu cupak makanan (hinthah) kepada orang miskin setiap hari.” (Hadis riwayat Malik).

Manakala perempuan hamil dan yang menyusukan itu apabila berbuka kerana niat rukhshah sakit atau musafir, maka wajib ke atasnya qada sahaja dan tidak wajib fidyah.

Hukum yang sama juga (fidyah) terkena kepada orang-orang yang meninggalkan puasa dan melengah-lengah atau melambatkan qada, sedangkan dia berdaya sehingga datang bulan Ramadan yang baru. Dengan demikian dia berdosa kerana melambatkannya dan wajib qada serta fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya itu.

Kecuali bagi orang-orang yang uzurnya berterusan sehingga tidak berdaya melakukan qada seperti sakit atau musafir yang berterusan, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan sehingga datang Ramadan yang lain maka tidak wajib ke atasnya fidyah kerana melambatkan qada itu kerana keuzuran sedemikian itu diharuskan.

Begitu juga orang-orang yang sengaja meninggalkan puasa tanpa uzur syar’i, dia berdosa dan wajib qada serta dikenakan membayar fidyah.

Orang Yang Diwajibkan Membayar Fidyah Sahaja

Islam sebagai agama yang mudah tidak akan memberatkan umatnya dalam segala perkara yang disyariatkannya seperti puasa Ramadan yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam.

Bagi orang-orang yang tidak berdaya menunaikan puasa Ramadan, Islam memberikan jalan kelonggaran tertentu kepada mereka sama ada dengan mengqada puasa yang ditinggalkannya itu atau dengan mengeluarkan fidyah, atau keduanya sekali.

Bagi orang yang sangat tua (yang tidak berdaya melakukannya) dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, tidak wajib ke atasnya berpuasa, tetapi diwajibkan ke atasnya membayar fidyah.

Dalam hal ini Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:

“Dan Ia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Al-Hajj ayat 78).

Firman-Nya lagi yang tafsirnya:

“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Al-Baqarah ayat 184).

Ibnu Abbas Radiallahuanhu telah meriwayatkan mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan ke atasnya fidyah, beliau berkata yang maksudnya:

“Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang keduanya tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan orang miskin bagi setiap hari sebagai ganti.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Hukum yang sama juga terkena kepada orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dia boleh berbuka dan wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkannya itu.

Mengenai qada orang yang sangat tua dan orang yang sangat sakit tidak ada harapan untuk sembuh jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa, apakah dia wajib mengqada puasa yang ditinggalkannya itu? Dalam hal ini, ulama menyatakan bahawa jika dia berdaya sebelum membayar fidyah, maka dibolehkan dia mengqada sahaja tetapi jika dia berdaya setelah membayar fidyah, dia tidak perlu mengqadanya. Ulama juga bersepakat adalah harus bagi orang yang sangat tua itu membayar fidyah selepas masuk fajar setiap hari.

Manakala bagi orang yang luput menunaikan puasa Ramadan dan meninggal dunia sebelum dia mengqadanya sama ada disebabkan meninggal dunia pada bulan Ramadan, meninggal sebelum fajar 2 Syawal, sakit yang berpanjangan atau kerana musafir yang diharuskan sehingga dia meninggal, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib qada dan tidak dikenakan membayar fidyah.

Iklan