Meninggalkan Puasa Ramadan (1/3)


Selamat-Berpuasa-Puasa-Ramadhan-1431-HMeninggalkan Puasa Ramadan (1/3)

Bilakah diwajibkan qada, fidyah dan kaffarah

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

ISLAM tidak membebankan umatnya dalam membuat perkara ibadat. Islam memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu kepada umatnya yang tidak mampu dan berdaya melakukannya. Sebagai contoh sembahyang yang tidak berupaya dilakukan dengan berdiri, dibolehkan melakukannya dengan duduk. Sembahyang berbaring atau menelantang juga diharuskan jika tidak boleh dengan cara berdiri atau duduk.

Begitu juga dengan kewajipan puasa Ramadan, jika seseorang yang tidak mampu berpuasa dengan sebab-sebab uzur yang dibenarkan seperti sakit, dalam musafir, orang-orang tua, perempuan-perempuan mengandung atau hamil dan seumpamanya adalah di antara orang-orang yang diharuskan berbuka dengan masing-masing diwajibkan qada sejumlah hari-hari yang tertinggal atau dengan membayar fidyah atau kedua-duanya. Perkara-perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan pendapat ulama mengenainya.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan tersebut, ulama dengan ijmak berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa dengan uzur syari diwajibkan qada. Di samping itu ada juga orang-orang yang meninggalkannya ditentukan ke atasnya membayar fidyah. Perkara ini termasuklah orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur.

Secara umumnya, qada puasa diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkan puasa Ramadan, sama ada dengan keuzuran syari atau sebaliknya. Ini berdasarkan ayat Al-Quran di mana Allah Subhanahu Wataala berfirman yang maksudnya:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui. (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.’’ (Surah Al-Baqarah ayat 184-185).

Berdasarkan ayat di atas, keuzuran syari yang mewajibkan qada puasa itu ialah seperti sakit, musafir, haid dan nifas. Bagaimanapun mereka yang sengaja tidak berpuasa pada bulan Ramadan tanpa keuzuran syari adalah melakukan dosa besar kerana melanggar perintah kewajipan berpuasa dan mereka tetap wajib mengqada puasa yang ditinggalkan itu.Menurut hukum syarak orang yang meninggalkan puasa itu ada beberapa golongan:

  1. Orang yang diwajibkan qada sahaja.
  2. Orang yang diwajibkan qada dan fidyah.
  3. Orang yang tidak wajib qada tetapi wajib fidyah.
  4. Orang yang diwajibkan kaffarah.

Orang Yang Diwajibkan Qada Sahaja

Qada puasa hanya diwajibkan kepada mereka yang berbuka puasa di bulan Ramadan, sama ada dengan keuzuran syari atau tidak. Di antara orang-orang yang diwajibkan qada puasa itu ialah:

  1. Orang yang sakit yang ada harapan sembuh. Jika puasa itu boleh mendatangkan mudarat ke atas dirinya sama ada menambahkan sakitnya, melambatkan sembuh sakitnya atau puasa itu mengelakkan sakitnya, maka adalah harus bagi orang yang sakit itu berbuka puasa Ramadan tetapi wajib ke atasnya mengqada puasa sebanyak hari yang ditinggalkannya setelah sembuh.
  2. Orang yang musafir (dalam pelayaran) juga di antara orang yang diberi kelonggaran dalam menunaikan puasa. Keharusan berbuka puasa Ramadan kerana musafir hanya diberikan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat musafir sebagaimana yang ditentukan oleh syarak seperti:
  3. Hendaklah jarak perjalanan pergi belayar itu tidak kurang dari dua marhalah iaitu 89-91 kilometer atau 56 batu.
  4. Hendaklah pada permulaan perjalanan itu berniat (qasad) hendak membuat pelayaran menuju ke destinasi yang diketahui serta menetapkan azam tanpa ragu-ragu untuk berjalan dalam jarak jauh tidak kurang daripada dua marhalah.
  5. Perjalanan itu hendaklah atas tujuan yang diharuskan oleh syarak dan bukan atas tujuan untuk mengerjakan perkara-perkara yang diharamkan atau maksiat.
  6. Pelayaran itu hendaklah sebelum masuk waktu diwajibkan puasa seperti selepas Maghrib dan sebelum fajar.

Bagi orang musafir yang diharuskan berbuka itu adalah wajib mengqada puasa sebanyak hari yang telah ditinggalkannya.

Orang yang sakit dan orang musafir yang diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadan telah dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:

“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”‘ (Surah Al-Baqarah ayat 184).

Hukum orang yang sakit dan musafir di atas adalah sama dengan orang yang sangat lapar dan sangat dahaga. Orang seperti ini juga diharuskan berbuka dan wajib qada. Kelonggaran tersebut berdasarkan firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya:”

Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.’’ (Surah An-Nisaa’ ayat 29).

Iklan