Permasalahan Daging Korban (1/3)


kambing-kurban-300x225Permasalahan Daging Korban (1/3)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Suasana ‘Idul Adha atau dikenal juga sebagai Hari Raya Korban tidaklah sehebat ‘Idul Fitri. ‘Idul Fitri disambut dengan ‘bermati-matian’ di mana persediaan menyambut kedatangannya dibuat lebih awal dan ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerananya. Inilah suatu hakikat yang tidak selaras dengan agama.

‘Idul Adha mengingatkan kita kepada peristewa penyembelihan Nabi Ismail. Sejak dari saat itulah penyembelihan binatang korban menjadi salah satu syiar dalam Islam.

Kalau ada orang sanggup ‘berbelanja besar’ kerana Hari Raya Fitri, maka inilah saatnya kita ‘berbelanja besar’ kerana menyertai amalan berkorban binatang, kerana ia menjanjikan pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala yang antaranya:

  1. Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.
  2. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.

iii. Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Tidak syak lagi menyembelih binatang korban itu tanda bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta sebanyak nilai harga binatang korban, selepas ditolak keperluannya dan keperluan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik, maka dia dianggap telah memenuhi syarat-syarat boleh berkorban.

Meninggalkan ibadah korban walaupun tidak berdosa, namun seseorang itu bukan hanya kehilangan pahala-pahala besar yang dijanjikan dan tidak mendapat pahala sunnah, bahkan dihukum pula sebagai makruh.

Yang demikian itu, rebutlah peluang berkorban ini yang datangnya hanya setahun sekali, itupun jika ada umur yang lebih, sambil itu sama-samalah kita memerhatikan hukum-hakam mengenainya supaya bertambah sempurna amalan korban itu dan dalam waktu yang sama terjauh daripada segala yang boleh mencacatkannya.

Isu-Isu Daging Korban Wajib

Udhhiyyah atau korban itu terbahagi kepada dua iaitu udhhiyyah wajibah (korban wajib) dan udhhiyyah mandubah (korban sunat).

Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta’ayin) binatang tersebut.

Maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya. Untuk lebih jelasnya lagi disebutkan beberapa isu berhubung dengan korban wajib yang perlu diambil perhatian seperti berikut:

(1) Hukum Memakan Daging Korban Wajib

Haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.

(2) Makan Daging Korban Yang Diwasiatkan

Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

(3) Menukar Binatang Korban Wajib Dengan Yang Lebih Baik

Binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).

(4) Melambat-lambatkan Pembahagian Daging Korban

Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.

(5) Menjual Binatang Korban Wajib

Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

(6) Binatang Korban Dicuri Dan Dibinasakan Orang Lain

Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.

Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

(7) Disembelih Sebelum Masuk Waktu

Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

(8) Kecacatan Binatang Korban Wajib

Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

(9) Binatang Cacat Disembelih Sebelum Masuk Waktunya

Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

(10) Cacat Setelah Masuk Waktu Menyembelih

Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Bersambung

***

Kiriman Sahabat Arland

Iklan