Menunaikan Haji Dengan Berhutang


hajiMenunaikan Haji Dengan Berhutang

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ibadat haji adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Antara syarat-syarat wajib haji itu ialah istitha’ah. Istitha’ah bererti berkuasa atau ada kemampuan.

Istitha’ah (berkuasa) mengerjakan haji itu ada dua bahagian iaitu:

  1. Berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri.
  2. Berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.

Apa yang menarik perhatian kita untuk ditonjolkan dalam perbincangan ini mengenai kedua-dua jenis istitha’ah di atas ialah berkenaan “berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri.”

Menurut para ulama, berkuasa mengerjakan haji dengan dirinya sendiri itu mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:

  1. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga sara/biaya hidup bagi orang yang wajib dibelanjainya semasa dalam pelayarannya, serta perbelanjaannya itu melebihi dari hutangnya.
  2. Mempunyai kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewaan biasa menurut tempat dan masa.

Syarat mempunyai kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji itu hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya daripada Mekkah iaitu sejauh dua marhalah atau lebih iaitu jarak jauh yang membolehkan sembahyang diqashar. Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan itu disebut dalam hadits riwayat Ibnu ‘Umar dengan katanya:

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata (bertanya): “Ya Rasulullah, apakah yang mewajibkan haji itu?

Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan”.

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis di atas, dapat difahami bahawa orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan itu belum diwajibkan ke atasnya mengerjakan haji.

Menurut Ibnu Hajar, tidak wajib di atas orang Islam mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau menerima pemberian daripada orang lain atau dengan cara berhutang, kecuali dia mendapat bekalan dan seumpamanya itu daripada harta yang sedia ada di tangannya.

Bagi orang yang memiliki belanja yang melebihi dari keperluan dirinya dan tanggunggannya sepanjang pemergiaannya untuk mengerjakan haji maka haji adalah wajib ke atas orang tersebut. Demikianlah sebaliknya sekiranya belanja tersebut tidak melebihi keperluan diri dan tanggunggannya maka tiadalah wajib haji ke atasnya.

Adapun orang yang memiliki harta yang memberi hasil kepadanya dan hasil tersebut tidak melebihi kadar keperluan diri dan tanggunggannya, seperti tanah atau rumah sewa dan seumpamanya, tetapi apabila dijual harta berkenaan, hasil jualan tersebut akan membolehkan dia mengerjakan haji dan melebihi keperluan tanggunggannya sepanjang pemergian haji, maka menurut qaul yang ashah dalam mazhab Syafi’e haji adalah wajib ke atas orang tersebut.

Walau bagaimanapun tidak wajib menjual rumah tempat kediamannya dan perkakas rumah untuk mengerjakan haji, pada fikiran kita termasuk juga tidak menjual tanah, kerana semua perkara itu adalah merupakan keperluan yang sangat dihajati (dharuri). Malahan ia mesti diberikan prioriti sebagai perkara asas untuk membolehkan seseorang menjalani kehidupan.

Oleh itu Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan haji jika belum berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya.

Orang Berhutang Untuk Mengerjakan Haji

Apa yang kadang-kadang berlaku, walaupun mengerjakan haji itu wajib terdapat sebahagian orang memaksa dirinya berhutang untuk tujuan tersebut. Berhutang itu mengandungi risiko yang tinggi yang boleh menyusahkan bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.

Antara hadits yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Malik:

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya.”

(Hadis riwayat Malik)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Di dalam sebuah atsar diriwayatkan daripada Tariq, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku pernah mendengar Ibnu Abi Awfa (salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) ditanya berkenaan seorang laki-laki yang berhutang untuk pergi menunaikan haji, beliau berkata: “Mohonlah rezeki kepada Allah dan jangan berhutang.”

(Dikeluarkan oleh al-Baihaqi)

Imam an-Nawawi menjelaskan pendapat para ulama mazhab Syafi’e bahawa sekalipun orang yang memberi hutang itu rela supaya hutang itu dibayar semula pada tempoh selepas menunaikan haji, haji tetap tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu. (Al-Majmu’ : 7/56)

Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji para ulama telah menjelaskan syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas berdasarkan al-Qur’an, hadis dan ijma’. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka haji tidak wajib baginya, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam. Ini membuktikan bahawa agama Islam itu agama rahmat dan tidak menyusahkan umatnya.

Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan haji yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu menyusahkan dirinya dengan berhutang. Lebih-lebih lagi bagi haji yang dikerjakan itu kali kedua atau seterusnya. Berhutang kerana tujuan ini adalah dilarang oleh agama kerana hutang itu akan menjadi bebanan dan menyusahkannya sebagaimana yang disebut oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam.

wallohu a’lam bish-shawab,-

***

Kiriman Sahabat Arland

Iklan