Puasa-Puasa Sunat Dan Hari-Hari Yang Diharamkan Dan Dimakruhkan Berpuasa (2/4)


puasa 4Puasa-Puasa Sunat Dan Hari-Hari Yang Diharamkan Dan Dimakruhkan Berpuasa (2/4)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu ‘Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Puasa hari ‘Asyura’, Tasu’a’ dan kesebelas Muharram

Puasa hari ‘Asyura’ ialah puasa sunat pada hari kesepuluh bulan Muharram.

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Abu Sufyan Radhiallahu ‘anhuma berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ini adalah hari ‘Ayura’ dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barangsiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa).” (Hadits riwayat Bukhari) Hikmat berpuasa pada hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “(Tatkala) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sampai di Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Baginda bersabda: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari yang baik, ini adalah hari yang mana Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu” Nabi bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu” Lalu Baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa (pada hari itu.)” (Hadits riwayat Bukhari) Kelebihan berpuasa di hari ‘Asyura’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata:

Maksudnya: “Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa pada hari ‘Asyura’? Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu.” (Hadits riwayat Muslim) Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada hari ‘Asyura’, berpuasa pada hari Tasu’a’ iaitu hari yang kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “Dahulu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Asyura’ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada tahun yang akan datang, insya Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan” Berkata Abdullah bin Abbas: “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah pun wafat.” (Hadits riwayat Muslim) Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a’ (sembilan Muharram) itu dari berbagai-bagai aspek:

  1. Bagi menyalahi atau membezakan amalam orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Asyura’ (Sepuluh Muharram) sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadits riwayat Ahmad)

  1. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari ‘Asyura’ kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
  2. Bagi maksud menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’. (lihat I’anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari ‘Asyura’ tanpa berpuasa pada hari Tasu’a’, supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi’e Rahimahullahu Ta’ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla’ disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu’a’), kesepuluh (‘Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.

Puasa Nabi Daud

Puasa Nabi Daud ialah puasa yang dikerjakan berselang seling dengan berpuasa sehari dan berbuka sehari. Ia adalah puasa sunat yang afdhal sekali di antara puasa-puasa sunat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/604)

Maksudnya: “Sembahyang yang paling disukai oleh Allah ialah sembahyang Nabi Daud ‘Alaihissalam dan puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud. Adalah Baginda (Nabi Daud) itu tidur di separuh malam, mendirikan ibadat sembahyang di sepertiga malam, tidur (kembali) di seperenam malam, berpuasa sehari dan berbuka sehari.” (Hadits riwayat Bukhari) Dalam sebuah hadith lain yang bersumber daripada Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma juga bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Maksudnya: “Maka berpuasalah engkau (Abdullah bin ‘Amr) sehari dan berbuka sehari (berikutnya), yang sedemikian itu adalah puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam dan ia adalah puasa sunat yang terafdhal sekali. Maka aku berkata (Abdullah bin ‘Amr): “Sesungguhnya aku mampu lebih dari sedemikian itu” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada yang lebih afdhal dari yang sedemikian itu.” (Hadits riwayat Bukhari)

Puasa hari-hari putih

Puasa hari putih itu ialah puasa sunat sebanyak tiga hari di setiap bulan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Telah berwasiat kepada ku Khalili Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari di setiap bulan, sembahyang Dhuha dua rakaat dan sembahyang Witir sebelum aku tidur.” (Hadits riwayat Bukhari)

Puasa Putih ini dilakukan pada hari ke 13, 14 dan 15 di setiap bulan dan dinamakan hari-hari tersebut hari putih kerana bulan pada malam itu penuhh dan putih terang. Daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai Abu Dzarr! Apabila engkau berpuasa tiga hari daripada sebulan, maka berpuasalah pada 13, 14 dan 15 haribulan.” (Hadits riwayat Tirmidzi)

Adalah wajar juga berpuasa pada hari ke 12 di samping berpuasa pada hari-hari yang ke 13, 14, dan 15 sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan bahawa hari yang ke 12 itu adalah awal bagi hari yang ke 13. Dikecualikan berpuasa pada hari yang ke 13 Zulhijjah kerana ia adalah terdiri daripada hari-hari Tasyriq yang diharamkan berpuasa dan digantikan hari tersebut pada hari ke 16 Zulhijjah . Adapun kelebihan berpuasa di hari-hari putih sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Dzarr Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa daripada tiap-tiap bulan sebanyak tiga hari, maka sedemikian itu (menyamai) puasa selama setahun.” (Hadits riwayat Tirmidzi) Ini adalah berdasarkan bahawa satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Dengan berpuasa 3 hari setiap bulan maka ia sebanding berpuasa sebanyak 30 hari dan begitulah seterusnya.

Bersambung

Iklan