Bersiaplah! Bulan Ramadhan Sebentar Lagi (2/2)


Bersiaplah! Bulan Ramadhan Sebentar Lagi (2/2)

  1. Mendalami Perkara Dilarang dan Yang Disunatkan Ketika Puasa

Setiap muslim hendaklah mengetahui perkara-perkara yang dilarang ketika puasa serta menjaga adab-adabnya, agar puasa itu diterima Allah Subhanahu wa Ta”ala dan sempurna pula perlaksanaannya. Demikian juga, setiap muslim hendaklah mengetahui perkara-perkara yang disunatkan ketika berpuasa agar mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda serta mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta”ala. Antara perkara-perkara yang sepatutnya bahkan wajib diketahui yaitu:

i. Adab-Adab Puasa

Antara adab-adab yang perlu dijaga ketika seseorang menjalani ibadat puasa yaitu:

  1. Menutup pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syara” dan daripada melihat perkara-perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Ta”ala.
  2. Menutup telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang yang suka mendengar berita bohong.
  3. Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong, lebih-lebih lagi yang dituntut supaya menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang diharamkan, seperti mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah karena perkelahian, bersumpah bohong dan yang seumpamanya.
  4. Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang diharamkan.

ii. Perkara-Perkara Sunat Ketika Puasa

Terdapat beberapa perkara yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa, antaranya yaitu:

  1. Sunat bagi orang yang hendak mengerjakan puasa itu bersahur dengan sesuatu makanan walaupun dengan sebiji kurma ataupun seteguk air, karena bersahur itu mengandungi keberkatan. Antara keberkatannya yaitu, dapat membantu seseorang menyiapkan ketahanan dirinya dari segi fizikal untuk mengerjakan ibadat puasa di siang hari, ia juga dapat membantu mengisi keperluan rohaninya dengan merebut peluang untuk bertahajjud, berzikir, beristighfâr dan berdoa pada waktu sahur.
  2. Sunat melambatkan sahur sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat sebelum terbit fajar. Antara tujuannya yaitu untuk memendekkan masa menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  3. Sunat bagi orang yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan sembahyang Maghrib iaitu sunat berbuka puasa dengan tiga biji kurma basah (ruthab). Jika tidak ada, memadai dengan kurma kering (tamar) dan jika tidak ada, memadai dengan beberapa teguk air. Sesudah selesai menunaikan sembahyang Maghrib baharulah menikmati juadah yang lain.
  4. Sunat bagi orang yang berpuasa itu sentiasa membasahkan bibirnya dengan berzikir dan berdoa sepanjang hari dia menjalani ibadat puasa, lebih-lebih lagi yang dituntut ketika waktu berbuka puasa karena doa orang berpuasa ketika dia berbuka sangat mustajab dan tidak tertolak.
  5. Memperbanyakkan membaca al-Qur”an. Al-Imam an-Nawawi menegaskan di dalam kitabnya al-Azkâr bahawa hari-hari yang terbaik membaca al-Qur”an yaitu pada hari Jumaat, Isnin, Khamis, hari “Arafah (9 Zulhijjah), sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, kemudian bulan terbaik adalah bulan Ramadhan.

Oleh itu, di bulan Ramadhan inilah kesempatan yang paling berharga yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baik mungkin untuk memperbanyakkan membaca Al-Qur”an, sama ada secara bertadarus ataupun secara berseorangan.

  1. Memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan. Karena Nabi Shallallahu “alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah dan dermawan, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadhan. Antara lain fungsi sedekah di bulan Ramadhan itu yaitu untuk menutupi atau menampal apa-apa jua kecacatan atau kekurangan pada puasa seseorang.

iii. Perkara-Perkara Membatalkan Puasa

  1. Perempuan yang datang haidh atau nifas ketika dia sedang berpuasa, maka batal puasa tersebut dan wajib diqadha.
  2. Makan dan minum dengan senghaja di siang hari bulan Ramadhan. Perbuatan sedemikian haram hukumnya dan wajib diqadha puasa tersebut.
  3. Muntah dengan senghaja. Iaitu melakukan sesuatu yang menyebabkan dia muntah seperti menjolok-jolokkan lidahnya ke langit-langit kemudian dia muntah dengan sebab perbuatannya itu.
  4. Mengeluarkan air mani dengan sengaja sama ada dengan menggunakan tangan, menyentuh, menggesel, dengan sebab berpeluk-peluk, bercium-cium atau seumpamanya.
  5. Orang yang sedang berpuasa menjadi gila dengan tiba-tiba, sekalipun gilanya itu hanya dalam tempoh seketika. Orang gila tersebut tidak diwajibkan qadha puasanya.
  6. Orang yang sedang berpuasa yang hilang akal seperti pitam, pengsan atau mabuk sepanjang hari iaitu daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Puasa orang tersebut batal dan wajib diqadha. Jika dia sedar dalam tempoh tersebut walau hanya sesaat, maka sah puasanya.
  7. Orang yang sedang berpuasa apabila murtad (keluar dari agama Islam), walaupun sekejap, maka batal puasanya dan wajib qadha apabila dia kembali semula kepada Islam.
  8. Orang yang sedang berpuasa apabila bersetubuh pada siang hari dengan sengaja dengan memasukkan hasyafah atau kadarnya pada qubul atau dubur manusia atau binatang, maka batal puasa orang yang melakukan persetubuhan itu dan wajib dia mengqadha puasanya serta menunaikan kaffârah. Begitu juga kepada orang yang disetubuhi adalah batal juga puasanya, tetapi wajib dia mengqadhanya saja tanpa kaffârah. Kaffârah karena persetubuhan tersebut yaitu memerdekakan seorang hamba. Jika tidak memperolehinya, maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak berdaya hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin.
  9. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka dari bahagian tubuh manusia.

Maksud dengan benda di sini yaitu apa-apa saja benda walaupun sedikit, sama ada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk maksud benda itu yaitu rasa, warna atau bau.

Yang dimaksudkan dengan “lubang yang terbuka” itu yaitu tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu semula jadi adanya seperti mulut, hidung dan sebagainya atau yang baru wujud seperti perut atau kepala yang ditebuk.

Adapun maksud “sengaja” itu pula yaitu dilakukan oleh dirinya sendiri atau dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya.

Manakala maksud “rongga” pula yaitu apa-apa saja yang dinamakan rongga sama ada rongga itu mempunyai kuasa memproses makanan atau ubat ataupun tidak seperti rongga otak, kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlil).

Penutup

Berpuasa bukan hanya memelihara dan menjaga perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, akan tetapi lebih jauh daripada itu yaitu menjaga perkara-perkara yang boleh mendatangkan haram kepada mana-mana anggota tubuh badan. Oleh karena itu kita telah diperingatkan bahawa berapa banyak orang puasa yang tidak dapat apa-apa pahala melain lapar dan dahaga.

Bulan Ramadhan adalah musim mengaut untung dan laba besar, karena ganjaran pahala ibadat – sembahyang umpamanya – dilipat gandakan sehingga menjadi 70 kali lipat, bahkan pahala puasa itu sendiri hanya Allah saja yang mengetahuinya.

Ketika berpuasa elakkan perkara-perkara yang boleh melalaikan atau menyebabkan susut nilai amalan di bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi 10 terakhir di bulan yang mulia itu, yang di dalamnya ada satu hari yang lebih baik daripada 1000 bulan. Kalau hendak berbelanja karena hari raya  bukan membazir atau memboros berbelanjalah dari sekarang. Supaya masa-masa di bulan Ramadhan hanya akan dipenuhi dengan amal ibadat.

Iklan