Bersiaplah! Bulan Ramadhan Sebentar Lagi (1/2)


Selamat-Berpuasa-Puasa-Ramadhan-1431-HBersiaplah!  Bulan Ramadhan Sebentar Lagi (1/2)

Kedatangan bulan Ramadhan adalah merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Setiap amal kebajikan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda. Doa mudah dikabulkan dan pintu pengampunan terbuka luas bagi setiap orang yang beriman dan orang-orang yang kembali ke jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahalanya. Untuk itu Irsyad Hukum kali ini mengingatkan supaya sama-samalah kita mempersiapkan diri sebelum menempuh kehadiran bulan Ramadhan, iaitu dengan mendalami perkara yang dilarang dan yang disunatkan ketika melaksanakan puasa serta kewajipan-kewajipan lain yang perlu dilunaskan sebelum kedatangannya.

Persiapan Sebelum Menjelang Ramadhan

Persiapan kita sebelum menjelangnya bulan Ramadhan antaranya:

  1. Merasa Gembira Dan Berdoa

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggembirakan para sahabatnya sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan ketika Baginda menyampaikan khutbah kepada para sahabat yang antara lain mengandungi beberapa panduan dan dorongan untuk memperbanyak amal ibadat dalam bulan Ramadhan. Panduan dan dorongan yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu membuatkan para sahabat merasa gembira menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia.

Sehubungan dengan kegembiraan menyambut Ramadhan itu, at-Thabarani dan lain-lain meriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum tiba bulan Ramadhan, mulai daripada masuk bulan Rejab, Baginda sering berdoa. Antara doa Baginda ialah:

Maksudnya: “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di bulan Rajab dan Sya‘ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

  1. Puasa Sunat

Sebelum bulan Ramadhan, iaitu di bulan Sya‘ban, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat. Oleh itu memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban adalah sangat digalakkan kerana mencontohi amalan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kalau tidak dapat dibuat semuanya, maka janganlah ditinggalkan semua. Bukan sahaja bagi mengkecapi ganjaran pahala dan rahmat Allah Ta‘ala, bahkan bagi melatih diri berpuasa sebelum datangnya bulan Ramadhan.

  1. Mengqadha Puasa Wajib

Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqadha pada bila-bila masa. Bulan Sya‘ban merupakan masa atau peluang terakhir buat tahun itu untuk mengqadha puasa Ramadhan yang tertinggal itu. Maksud peluang terakhir di sini ialah bagi mengelakkan membayar fidyah, kerana jika telah masuk bulan Ramadhan, sedangkan puasa Ramadhan tahun yang sebelumnya belum diqadha, maka di samping kewajipan mengqadhanya, wajib pula mengeluarkan fidyahnya.

Bagi sesiapa yang masih belum mengqadha puasa Ramadhan tahun lepas, eloklah mengambil kesempatan mengqadhanya pada bulan Sya‘ban ini agar tidak terkena membayar fidyah.

  1. Membayar Fidyah

Fidyah dalam hal puasa bererti bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan berikutnya. Antara sebab-sebab wajib mengeluarkan fidyah puasa ialah:

  1. Tidak berupaya berpuasa, iaitu seseorang yang wajib berpuasa tetapi tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua atau lemah. Sekiranya dia berpuasa, dia tidak akan dapat menanggung kepayahannya. Maka orang sedemikian wajib membayar fidyah sahaja dan tidak diwajibkan mengqadha puasanya.
  2. Orang yang sakit tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya melakukan puasa. Maka dia wajib membayar fidyah sahaja tanpa mengqadha puasanya. Sementara orang sakit yang ditakuti akan bertambah sakitnya jika dia berpuasa tetapi ada harapan untuk sembuh, maka tidak wajib baginya berpuasa. Tetapi apabila dia sembuh wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu tanpa membayar fidyah.

iii. Perempuan hamil atau yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya mereka berpuasa maka ditakuti akan mendatangkan mudarat kepada anak yang dikandung atau boleh mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang baik kepada anak yang menyusu. Dalam hal ini, di samping mereka diwajibkan membayar fidyah, mereka juga wajib mengqadha puasanya. Namun jika dia berbuka kerana merasa takut akan kemudaratan dirinya sahaja atau takut akan kemudaratan dirinya dan juga anaknya, maka wajib dia mengqadha puasa sahaja tanpa membayar fidyah.

Orang yang tidak mengqadha puasa Ramadhan pada tahun berkenaan sehingga masuk Ramadhan berikutnya tanpa uzur syar‘i. Di samping wajib ke atasnya membayar fidyah (satu cupak bagi sehari puasa), dia juga wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu. Kadar jumlah fidyah tersebut akan berganda (2 cupak bagi sehari puasa) jika ditangguhkan lagi sehingga datang tahun berikutnya. Demikianlah seterusnya, setahun ke setahun kadar jumlah fidyah akan berganda-ganda jika qadha puasa tidak ditunaikan.

Iklan