Bolehkah Sembahyang Jama’ Sebelum Melakukan Perjalanan (1/2)


sholatBolehkah Sembahyang Jama’ Sebelum Melakukan Perjalanan (1/2)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Keistimewaan yang disebut sebagai rukhshah yang dikurniakan bagi orang yang melakukan perjalanan yaitu keharusan menjama’ atau menghimpunkan dua waktu sembahyang dan dikerjakan dalam satu waktu.

Sebagian dalil yang disandarkan bagi menjelaskan ketetapan hukum harus menjama’ sembahyang ketika dalam perjalanan, diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda membuat perjalanan sebelum matahari tergelincir Baginda akan melewatkan sembahyang Zuhur kepada waktu ‘Asar, kemudian menjama’ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut. Dan jika matahari sudah tergelincir Baginda akan menunaikan sembahyang Zuhur terlebih dahulu, kemudian Baginda memulakan perjalanan.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Melalui riwayat Anas juga, beliau berkata:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda hendak menghimpunkan dua sembahyang ketika dalam perjalanan Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur sehinggalah masuk awal waktu sembayang ‘Asar, kemudian Baginda menjama’ (menghimpunkan) kedua-dua sembahyang tersebut.” (Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana cara yang lebih utama dalam menjama’ sembahyang?

Kebanyakan para ulama termasuk para ulama mazhab Syafi’e mengatakan bahwa harus menjama’ atau menghimpunkan sembahyang fardhu Zuhur dengan ‘Asar, dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut, sebagaimana juga harus menjama’ sembahyang fardhu Maghrib dengan ‘Isya, dan dikerjakan di dalam salah satu waktu sembahyang tersebut ketika seseorang itu dalam perjalanan yang jauh.

Sembahyang jama’ itu terdapat dua cara yaitu jama’ taqdim dan jama’ ta’khir. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan ‘Asar yang dijama’ itu dikerjakan di dalam waktu Zuhur ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama’ itu dikerjakan dalam waktu Maghrib maka itu dinamakan jama’ taqdim. Jika sembahyang fardhu Zuhur dan ‘Asar yang dijama’ itu dikerjakan di dalam waktu ‘Asar ataupun sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ yang dijama’ itu dikerjakan dalam waktu ‘Isya’ maka itu dinamakan jama’ ta’khir.

Persoalannya, bagaimana cara yang lebih baik dikerjakan, adakah dengan cara jama’ taqdim atau jama’ ta’khir?

Para ulama menggariskan bahwa seseorang yang dalam perjalanan itu jika dia singgah atau berhenti sejenak di suatu tempat, dan pada ketika itu waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib sudah masuk, maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama’ taqdim, yaitu menghimpunkan sembahyang ‘Asar ke dalam waktu Zuhur atau menghimpunkan sembahyang ‘Isya ke dalam waktu Maghrib.

Sebaliknya, jika waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang Maghrib telah masuk dan dia pada waktu itu dalam perjalanan maka adalah lebih utama baginya menunaikan sembahyang dengan jama’ ta’khir, yaitu menghimpunkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu ‘Asar atau menghimpunkan sembahyang Maghrib ke dalam waktu ‘Isya’.

Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Tidakkah aku khabarkan kepada kamu tentang sembahyang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam? Apabila matahari tergelincir dan pada ketika itu Baginda berada di rumah (tempat Baginda menginap ketika dalam perjalanan), maka Baginda akan menyegerakan sembahyang fardhu ‘Asar ke dalam waktu Zuhur, lalu menjama’ (menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan ‘Asar) pada waktu tergelincir matahari (waktu Zuhur).

Apabila Baginda membuat perjalanan sebelum tergelincir matahari, maka Baginda akan mengakhirkan sembahyang Zuhur ke dalam waktu ‘Asar, lalu menjama’(menghimpunkan) keduanya (sembahyang Zuhur dan ‘Asar) pada waktu ‘Asar.” (Hadits riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang baik)

Bersambung

***

Kiriman Sahabat Arland

Iklan