Sholat Bagi Orang Sakit (1/2)


shalat orang sakitSholat Bagi Orang Sakit (1/2)

Sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan. Ganjaran dan fadhilatnya adalah amat besar sekali. Demikian juga sebaliknya, meninggalkan sembahyang itu akan dibalas dan dihukum dengan hukuman yang sangat berat.

Sembahyang itu adalah merupakan tiang agama. Sembahyang juga merupakan kepala bagi segala pendekatan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan awal permulaan bagi ketaatan hamba terhadap Tuhannya.

Banyak terdapat di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan hikmat dan kelebihan sembahyang lima waktu itu. Sepertimana juga banyak peringatan yang mengancam tentang barang siapa yang leka atau lalai mengerjakan sembahyang, lebih-lebih lagi yang meninggalkannya.

Kelebihan dan hikmat mendirikan sembahyang itu di antaranya ialah:

  1. Dapat menghindarkan diri seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
  2. Boleh menghapuskan dosa, sebagaimana air menghilangkan kotoran.

iii. Barang siapa menjaga sembahyang lima waktu dengan sempurna thaharahnya dan menjaga waktu-waktu sembahyang, maka baginya cahaya dan kejayaan pada Hari Qiamat kelak. Tetapi jika sebaliknya niscaya berhimpunlah dia pada Hari Qiamat bersama-sama Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.

  1. Sembahyang adalah merupakan kunci syurga.
  2. Allah Subhanahu wa Ta’ala berjanji untuk memasukkan ke syurga terhadap hambaNya yang mengerjakan sembahyang lima waktu yang tidak melalaikan atau meringan-ringankannya.

Sementara orang yang meninggalkannya pula adalah berdosa besar serta mendapat balasan dan hukuman yang sangat berat, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

(Surah Al-Muddatstsir: 42-43)

Bagi orang yang lalai pula Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Tafsirnya: “(kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (yaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah Al-Ma’un: 4-5)

Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali diabaikan kewajipan sembahyang itu. Karena ia merupakan unsur asas kekukuhan agama, apabila hilang unsur asas ini niscaya akan binasalah agama.

Tuntutan menunaikan sembahyang itu adalah berterusan selama mana akal fikiran sedar dan waras sekalipun dalam keadaan sakit, tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya. Maka berhubung dengan perkara ini, persoalan yang ingin kita jelaskan di sini ialah bagaimana cara orang sakit mengerjakan sembahyang.

Sembahyang Orang Sakit

Orang yang sakit tidak terlepas daripada tuntutan wajib sembahyang fardhu. Dia tetap dituntut mengerjakannya dengan apa jua yang mampu olehnya tanpa meninggalkan sebarang rukun fi’li sembahyang kecuali dalam keuzuran. Mengenai gambaran keuzuran itu akan dijelaskan berikut ini.

Tidak Mampu Untuk Berdiri

Berdiri dalam sembahyang fardhu itu adalah salah satu rukun sembahyang yang mesti dilakukan. Akan tetapi jika seorang mukallaf itu tidak mampu untuk berdiri maka haruslah (bolehlah) dia bersembahyang duduk. Manakala yang tidak mampu duduk dan berdiri maka haruslah (bolehlah) dia bersembahyang secara baring. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak mampu maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak mampu (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).” (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila seseorang mukallaf itu tidak mampu sembahyang berdiri disebabkan keuzuran yang bersangatan, seperti mengalami masyaqqah (kesukaran), takut menambahkan lagi kesakitan jika dia berdiri, takut tenggelam apabila berdiri di atas perahu, takut jatuh karena pening kepala atau seumpamanya, maka haruslah dia bersembahyang duduk, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas.

Orang sakit yang tidak mampu sembahyang berdiri itu tidak perlu lagi mengulangi semula sembahyang tersebut sesudah hilang keuzuran dan masyaqqahnya selepas itu. Mengenai pahala bagi orang sakit itu tidaklah berkurangan, bahkan sama saja pahalanya jika dia sembahyang berdiri. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apabila seseorang itu sakit atau musafir, maka ditulis baginya (pahala) sama seperti apa yang dikerjakannya sewaktu bermuqim dan semasa sehat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sembahyang Sunat Tanpa Berdiri

Namun dalam soal berdiri ini, para fuqaha tidak berselisih pendapat mengenai keharusan (membolehkan) sembahyang sunat dilakukan dalam keadaan duduk, walaupun orang itu dapat berdiri. Walaupun begitu sembahyang sunat dengan berdiri itu adalah lebih afdhal dan mendapat pahala yang besar berbanding dengan sembahyang duduk atau berbaring. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barang siapa yang sembahyang berdiri, maka itulah yang lebih utama. Dan Barang siapa yang sembahyang duduk, maka baginya separuh pahala daripada pahala sembahyang berdiri. Dan Barang siapa yang sembahyang tidur (berbaring merusuk), maka baginya separuh pahala daripada sembahyang duduk.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Cara Sembahyang Duduk

Keadaan dan cara duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri dalam sembahyang fardhu atau mampu untuk berdiri dalam sembahyang sunat tetapi melakukannya dengan duduk, tidaklah ditentukan cara dan keadaan duduknya itu. Bahkan adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk itu, akan tetapi makruh dengan duduk iq’a (bertinggung).

Manakala duduk bagi menggantikan berdiri:

Mengikut qaul yang ashah adalah afdhal duduk dengan keadaan iftirasy (seperti duduk ketika tahiyyah awal) karena duduk iftirasy itu adalah salah satu duduk ibadat, maka ianya lebih awla (utama).

Sementara qaul yang kedua, afdhal duduk dalam keadaan mutarabbi’an (duduk bersila). Cara sedemikian ini ialah bagi menggantikan cara sembahyang berdiri, oleh yang demikian hendaklah dibezakan duduk menggantikan berdiri itu daripada duduk-duduk yang lainnya yaitu duduk dengan bersila.

Adapun cara duduk ketika hendak melakukan tahiyyah awal, tahiyyah akhir dan duduk antara dua sujud dalam sembahyang duduk, adalah afdhal dan sunat dilakukan dengan duduk yang sama sebagaimana sembahyang orang sehat. Yaitu duduk tawarruk bagi tahiyyah akhir dan duduk iftirasy bagi duduk antara dua sujud dan tahiyyah awal.

Cara Rukuk Dan Sujud Dalam Sembahyang Duduk

Rukuk dan sujud merupakan salah satu daripada rukun sembahyang, sebagimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Rukuklah kamu dan sujudlah kamu.” (Surah Al-Hajj: 77)

Adapun cara rukuk orang yang bersembahyang duduk, ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sedikit bersetentangan dengan kedua-dua lututnya. Manakala cara yang sempurna adalah dengan membongkokkan badan melebihi daripada kadar di atas hingga berbetulan ke tempat sujud. Dan cara sujudnya pula sama seperti sujud biasa.

Apabila orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga melakukan rukuk dan sujud dalam keadaan duduk seperti cara-cara yang dijelaskan di atas, maka hendaklah dia berbuat yang mampu olehnya dengan cara membongkok seberapa yang boleh. Tetapi hendaklah sujudnya itu lebih rendah daripada rukuknya bagi membezakan antara sujud dan rukuk, dan melakukannya wajib bagi mereka yang mampu membezakannya.

Jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan rukuk dan sujud dengan seberapa yang boleh, maka dia hendaklah melakukan rukuk dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. (Majmuk: 4/201-203) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu mampu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Demikianlah cara dan keadaan bagi mereka yang melakukan sembahyang duduk disebabkan ada keuzuran yang bersangatan untuk berdiri.

Tidak Dapat Rukuk Dan Sujud

Apabila seseorang itu tidak mampu melakukan rukuk dan sujud karena ada keuzuran yang bersangatan, tetapi dia mampu untuk berdiri dan duduk, maka dalam keadaan ini wajiblah dia bersembahyang dalam keadaan berdiri dan tidak sah jika dia bersembahyang dalam keadaan duduk.

Cara rukuk dan sujud bagi orang yang tidak mampu melakukannya, hendaklah dalam keadaan dia rukuk, dia membongkokkan badannya sekadar yang mampu. Sementara ketika sujud, maka cara sujudnya adalah dalam keadaan badannya membongkok dengan kedudukan lebih rendah daripada rukuknya, bagi membezakan kedua-duanya.

Jika dia mampu untuk melakukan rukuk, tetapi tidak mampu untuk sujud, maka dalam hal ini tertakluk pada tiga keadaan dan ianya serupa dengan keadaan rukuk dan sujud dalam sembahyang duduk:

Apabila dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang kadar had rukuk dan tidak pula melebihi daripada kadar itu, maka bolehlah dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan membongkokkan badan dengan kadar yang dia mampu itu (kadar had sekurang-kurang rukuk).

Adapun jika dia mampu untuk melakukan kadar had rukuk yang sempurna dan tidak melebihi daripada kadar itu, maka bolehlah juga dia melakukan perbuatan yang serupa bagi rukuk dan sujud dengan membongkokkan badan dengan kadar yang dia mampu itu (kadar had sempurna rukuk). Akan tetapi janganlah dia melakukan rukuk itu kurang daripada kadar had sempurna rukuk sedangkan dia mampu untuk melakukannya, supaya tidak menghilangkan perbuatan yang sunat bagi rukuk (kadar had sempurna rukuk).

Jika dia mampu untuk melakukan rukuk dengan melebihi kadar had sempurna rukuk, maka hendaklah dia melakukan rukuk dengan tidak melebihi kadar had sempurna itu. Manakala sujudnya pula hendaklah melebihi daripada kadar had sempurna rukuk itu. Ini karena membezakan antara kedua-dua perbuatan tersebut (membongkok karena rukuk dan membongkok karena sujud).

Adapun bagi orang yang tidak mampu untuk membongkokkan badannya bagi menggantikan perbuatan rukuk dan sujud, maka hendaklah dia melakukannya dengan menundukkan leher dan kepala. Jika tidak termampu juga dengan demikian itu maka hendaklah melakukannya dengan isyarat. (Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah: 1/165, Majmuk: 4/204)

Tidak Mampu Untuk Berdiri Dan Duduk

Dalam keadaan masyaqqah dan keuzuran yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan duduk, maka harus (boleh) baginya mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring, yaitu disunatkan berbaring pada rusuk sebelah kanan dan menghadapkan muka dan badannya ke arah kiblat seperti keadaan mayat di liang lahad.

Adapun jika dia berbaring pada rusuk sebelah kiri, adalah makruh perbuatannya itu selagi dia mampu untuk berbaring pada rusuk sebelah kanan. Walau bagaimanapun sembahyangnya dalam keadaan sedemikian adalah sah. Jika terdapat keuzuran (tidak mampu) sembahyang berbaring di sebelah rusuk kanan, maka wajiblah dia berbaring di sebelah rusuk kiri dengan menghadapkan muka dan badannya ke arah kiblat.

Jikalau menjadi kesukaran juga dalam melakukan kedua-dua keadaan ini, maka haruslah dia mengerjakan sembahyang baring secara menelentang dengan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat. Bagi orang yang sembahyang dalam keadaan ini, hendaklah diletakkan sesuatu di bawah kepalanya seperti bantal supaya dapat meninggikan mukanya bagi menghadap kiblat bukannya menghadap ke arah langit. (I’anah At-Thalibin: 1/160-161, Hasyiyatan Qalyubi ‘Umairah: 1/166)

Orang sakit yang tidak mampu menghadap kiblat seperti orang yang lumpuh anggota badan yang terlentang di atas katil (tempat tidur) sedangkan dia tidak menghadap ke arah kiblat. Jika tiada ada orang yang dapat menolong untuk memalingkannya agar dapat menghadap kiblat sama ada orang tersebut diupah atau sebagainya, maka haruslah (bolehlah) dia bersembahyang dalam keadaannya itu walaupun tidak menghadap kiblat. Akan tetapi diwajibkan baginya untuk mengulangi sembahyang tersebut. (Majmuk: 3/223)

***

Kiriman Sahabat Arland

Iklan