Waktu-Waktu Yang Dilarang Melakukan Sholat (1/3)


dilarang sholatWaktu-Waktu Yang Dilarang Melakukan Sholat (1/3)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Umat Islam memang disarankan untuk sentiasa memperbanyak melakukan sebahyang-sembahyang sunat. Sembahyang-sembahyang sunat itu sebenarnya berperanan menampal segala kekurangan yang dilakukan ketika malakukan sembahyang-sembahyang Fardhu.

Dengan memperbanyak melakukan ibadah sembahyang, seseorang hamba akan sentiasa berada dekat dengan Khaliqnya kerana sembahyang itu penghubung di antara manusia dengan Allah.

Rasulullah Sahallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“ (Kedudukan) yang paling dekat di antara hamba dan Tuhannya ialah ketika dia sujud (di dalam sembahyangnya) maka perbanyakkanlah doa”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sembahyang-sembahyang sunat itu ada yang telah ditetapkan waktu dan ada pula sembahyang-sembahyang sunat yang tidak terhad waktunya iaitu boleh dilakukan bila-bila masa sama ada pada waktu malam atau siang. Di antara sembahyang sembahyang sunat itu ada hubungannya dengan sembahyang fardhu seperti sembahyang sunat qabliyah dan ba’diyah. Ada juga sembahyang sunat yang disunatkan melakukannya kerana waktu yang tertentu seperti sembahyang Dhoha dan ada di antara sembahyang sunat yang dilakukan oleh sebab tertentu seperti sembahyang gerhana matahari, gerhana bulan, kerana memulakan pelayaran atau balik dari pelayaran, hinggalah kepada sembahyang mutlak yang bukan bersebab dan berwaktu separeti sembahyang sunat Tasbih dan lainnya.

Begitu banyak sekali sembahyang-sembahyang sunat yang dianjurkan kepada kita melakukannya, yang patut kita ambil kesempatan atau peluang memanfaatkannya.

Akan tetapi ada beberapa waktu dan keadaan yang dilarang kita melakukan sembahyang-sembahyang berkenaan. Walaupun secara umumnya, yang dilarang itu ialah sembahyang-sembahyang sunat pada waktu-waktu tertentu, namun ada juga kalanya sembahyang fardhu.

Bilakah waktu dan keadaan yang dimaksudkan itu? Apakah hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu berkenaan, adakah haram atau makruh sahaja? Adakah sembahyang itu sah atau sebaliknya? Apa-apa dia sembahyang yang ditegah melakukannya itu? Maka Irsyad hukum kali ini akan menghuraikannya.

Bilakah Waktu-Waktu Yang Dilarang Menunaikan Sembahyang?

Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut:

  1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyemai dengan lapan belas inci.
  2. Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah .(Kecuali waktu istiwa pada hari Jumaat)
  3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya yang maksudnya :

“Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang dan mengkebumikan mayat, iatu ketika matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas melarang bersembahyang dan mengkebumikan mayat pada ketiga-tiga waktu berkekenaan.

  1. Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari.
  2. Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari.

Diterangkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sahallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas Asar sehinggalah matahari terbenam”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hukum Menunaikan Sembahyang Pada Waktu-Waktu Tersebut

Menurut pendapat yang mu’tamad dalam mazhab Syafi’ie bahawa hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu yang tersebut itu adalah makruh tahrim. (Mughni al-Muhtaj :1/128, Fathul ‘Allam: 3/114,Fiqh al-Islami wa Adillatuh:1/520 )

Makruh tahrim sebagai mana yang dijelaskan oleh pengarang Hasyiyah I’anah Thalibin dan pengarang Fathul ‘Allam ialah hukum yang sabit dengan dalil yang zhanni dan boleh dibuat takwilan (andaian), berbeza dengan haram yang mana ia sabit dengan dalil qath’ie yang tidak boleh dibuat takwilan sama ada dalil itu daripada kitab atau sunnah atau ijma’ ataupun qiyas.(I’anah Tahalibin:1/197, Fathul ‘Allam: 3/114)

Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh tanzih. Walau bagaimanapun sembahyang itu tetap tidak shah sebagaimana kata Al-Khatib Asy-Syarbini yang maknanya :

“Dan tidak shah sembahyang itu jika kita berpendapat bahawasanya hukumnya adalah makruh tahrim, dan begitu juga pada pendapat yang mengatakan bahawa hukumnya adalah karahah tanzih menurut pendapat yang ashah”

(Mughni al-Muhtaj:1/129)

Menyenghajakan Mengakhirkan Sembahyang Untuk Dilakukan Pada Waktu-Waktu Makruh

Berkata pengarang Fathul Mu’in yang maknanya :

“Maka jika seseorang itu bermaksud (menyenghajakan untuk mengakhirkan) sembahyang yang bukan empunya waktu di dalam waktu makruh (mengerjakan sembahyang) kerana waktu itu adalah waktu makruh (sebagaimana yang telah diketahuinya) maka hukumnya adalah haram secara mutlak dan sembahyang itu tidak shah walaupun (mengqadha) sembahyang yang telah luput waktunya sekalipun wajib di qadha dengan segera kerana dia telah menentang hukum syara’”

(I’anah at-Thalibin:1/199-200)

Berlainan halnya jika tujuan mengakhirkannya pada waktu makruh itu oleh sebab yang tertentu iaitu bukan dengan niat melakukannya pada waktu itu kerana waktu itu adalah waktu makruh seperti mengerjakan sembahyang Janazah selepas sembahyang Asar kerana bertujuan supaya ramai jamaah bersembahyang, maka itu adalah diharuskan .(Lihat Hasyiah I’anah Thalibin:1/200)

Tidak termasuk di dalam larangan itu bagi sembahyang yang empunya waktu seperti mengakhirkan sembahyang Asar sehingga matahari kekuning-kuningan.

***

Kiriman Sahabat Arland

Iklan