MENGAKHIRKAN WAKTU SHOLAT (2/2)


siluet sholatMENGAKHIRKAN WAKTU SHOLAT (2/2)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Melambatkan Sembahyang Tanpa Melewati Tempoh Waktunya

Persoalan yang timbul, apakah ini dibenarkan oleh hukum syara’?

Persoalan seperti ini ada hubung-kaitnya dengan perkara perintah dan azam.

Allah Ta’ala telah memerintahkan melakukan perkara-perkara yang wajib, seperti taat kepadaNya dengan melakukan apa saja perintah seperti sembahyang fardhu bila tiba waktunya, mengeluarkan zakat bila tiba waktunya, puasa Ramadhan bila tiba waktunya, menghormati al-Qur’an pada bila-bila masa, patuh kepada Nabi setiap saat, patuh kepada ibu bapa dan banyak lagi. Allah juga memerintahkan supaya meninggalkan semua laranganNya, seperti tidak berdusta, tidak mencuri, tidak khianat, tidak melihat aurat perempuan ajnabi, tidak makan riba, tidak minum arak, tidak menerima rasuah sepanjang masa dan banyak lagi.

Semua perintah dan larangan Allah Ta’ala wajib dipatuhi oleh setiap orang mukallaf, tidak boleh dilanggar, tidak boleh dicuaikan dan semuanya wajib dilakukan apabila kewajipannya muncul jika ia berkaitan dengan waktu seperti sembahyang fardhu dan puasa Ramadhan, dan setiap saat atau terus menerus seperti tidak melihat aurat ajnabi pada bila-bila masa.

Sehubungan dengan ini, para ulama usul fiqh menjelaskan bahawa sebaik saja seseorang itu mukallaf, maka dia wajib berazam iaitu berniat atau memutuskan dalam hati akan mematuhi semua perintah dan larangan Allah Ta’ala.  Azam jenis ini disebut ‘azam am’, kerana ia berkait dengan apa saja jenis kewajipan yang wajib dilakukannya apabila tiba waktu melakukan atau meninggalkannya sepanjang hidupnya.

Selanjutnya mereka menjelaskan bahawa selain ‘azam am’ terdapat satu lagi jenis azam iaitu ‘azam khas’.  Azam ini berkait dengan tibanya waktu untuk melakukan sesuatu yang wajib di dalam waktunya.  Misalnya, jika sudah masuk malam Hari Raya Puasa bermakna wajiblah terus mengeluarkan zakat fitrah atau menangguhkan sehingga sebelum habis tempohnya, tetapi wajib ada azam untuk itu. Sebagai misalan lagi, jika masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah terus melakukannya atau menangguhkannya sehingga sebelum habis waktunya, tetapi wajib ada azam di awal waktu untuk melakukannya.  Inilah yang dikatakan azam khas.

Mereka berkata bahawa kewajipan azam ini ialah untuk tidak dianggap cuai (lalai)dan supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syar’i sebelum sempat melakukannya.

Apabila Masuk Waktu Wajib Berazam

Berdasarkan analisis ulama fikah dan ulama ushul, apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dilakukan salah satu dari dua perkara:

  1. Terus menunaikannya, atau
  2. Membuat azam dalam hati akan menunaikannya dalam waktunya.

Al-’Allamah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah Ta’ala menjelaskan di dalam kitabnya Fath al-’Allam: ‘Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu dua perkara; sama ada melakukannya terus ataupun berazam melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia berdosa.’ (Fath al-’Allam, 2:89).

Jika perkara pertama dilakukan, bermakna kewajipan telah selesai dan pahala sudah menanti. Sekiranya setelah itu dia meninggal, tidak ada lagi dosa mengenainya.

Jika perkara kedua yang dilakukan (berazam), bermakna kewajipan belum tertunai dan pahalanya belum diperolehi. Sekiranya dia meninggal atau ada halangan yang menghalang melakukannya, seperti datang haidh, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syar’i sehinggalah habis waktunya, maka dia tidak berdosa kerana adanya azam.

Al-’Allamah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah Ta’ala juga menjelaskan: ‘Jika seseorang itu bermaksud melambatkannya daripada awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut pendapat yang ashah, di mana sekiranya dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut, dimana sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat melakukannya, dia adalah berdosa.’ (Fath al-’Allam: 2,88).

Kesimpulan

Setiap orang mukallaf wajib melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Apabila tiba waktu sembahyang wajiblah dia terus menunaikannya, atau paling tidak, dia hendaklah membuat azam akan melakukannya dalam waktunya.  Azam ini dinamakan azam khas.

Jika dia telah membuat azam,  kemudian timbul uzur syar’i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haid, lupa, sakit tenat atau meninggal, maka tidaklah dia berdosa.

Sebaliknya, jika dia belum melakukannya apabila waktunya tiba dan tidak pula membuat azam, kemudian timbul uzur syar’i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haid, sakit tenat atau meninggal, maka yang demikian itu akan mendatangkan dosa kepadanya.

Bagi seorang mukallaf yang ditimpa uzur syar’i, seperti datang haidh, terlupa, sakit tenat setelah masuk waktu dan belum sempat menunaikan sembahyang fardhu sehinggalah habis tempoh waktunya, maka sembahyang berkenaan wajiblah diqadha setelah hilang keuzurannya itu, sama ada telah berazam atau sebaliknya.

====SELESAI===

Iklan