MENGAKHIRKAN WAKTU SHOLAT (1/2)


siluet sholatMENGAKHIRKAN WAKTU SHOLAT (1/2)

 

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Syariat sembahyang merupakan di antara sebesar-besar tuntutan Islam yang wajib dilaksanakan, kerana sembahyang itu merupakan tiang agama dan asas Islam yang lima yang paling penting sesudah dua kalimah syahadat. Oleh itu, wajib bagi setiap orang Islam mengambil berat dan memelihara dengan menunaikannya tepat pada waktu yang ditetapkan tanpa mencuaikannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Tafsirnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang wustha (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyu‘.” (Surah Al-Baqarah, ayat 238)

Orang-orang yang memelihara sembahyang mereka itu pula diklasifikasikan di kalangan orang-orang yang berjaya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela; kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (Surah Al-Mukminuun, ayat 1-9)

Menyegerakan Sembahyang Di Awal Waktu

Di antara ciri-ciri orang yang memelihara sembahyang itu ialah menyegerakan menunaikannya di awal waktu, iaitu sebagai menzahirkan kecintaannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan membuktikan tentang kesungguhan dirinya untuk mencari keredhaan Allah Ta‘ala. Maka tidak hairanlah orang yang menyegerakan sembahyang itu akan mendapat pahala yang besar.

Gesaan menyegerakan mendirikan sembahyang di awal waktu telah sabit di dalam hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya yang maksudnya:

Apakah amalan-amalan paling afdhal? Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Di dalam riwayat yang lain, Abdullah bin Mas‘ud berkata yang maksudnya :

“Saya telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘ala?” Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sembahyang pada waktunya.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan An-Nasai’e)

Al-Imam Asy-Syafie Radhiallahu ‘anhu berkata: “Awal waktu sembahyang itu adalah lebih afdhal. Di antara hujjah yang menyokong kelebihan awal waktu berbanding dengan akhir waktu itu ialah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan Umar Radhiallahu ‘anhuma memilih awal waktu. (Sudah tentu) mereka tidak akan memilih melainkan apa yang lebih utama, dan mereka tidak akan meninggalkan apa yang utama. Adalah mereka itu sembahyang pada awal waktu.”

Demikian beberapa hujjah yang memberi petunjuk tentang keutamaan menyegerakan sembahyang di awal waktu.

Bilakah tempoh masa yang dikatakan di awal waktu itu?

Tempoh masa yang dikatakan awal waktu itu ialah bermula daripada masuk waktu sembahyang fardhu sehinggalah berlalu satu tempoh masa kadarnya cukup untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1)   Makan sekira-kira boleh kenyang, iaitu kenyang pada mengikut pandangan syara‘.

2)   Memakai pakaian.

3)   Qadha hajat.

4)  Membersihkan diri, iaitu menghilangkan kotoran, mandi dan berwudhu’ atau bertayammum.

5)   Azan dan iqamah.

6)  Menunaikan sembahyang fardhu dan sunat qabliyyah dan ba‘diyyah. (Mughni al-Muhtaj, 1:123, Fath al-‘Alam, 2:209, 216)

Sebaliknya, haram melambat-lambatkan mendirikan sembahyang sehinga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang. Andainya memulai pekerjaan sembahyang pada ketika itu, maka tidak harus baginya melakukan perkara-perkara yang sunat, bahkan seseorang itu wajib melakukan perkara-perkara yang wajib sahaja dan berniat sembahyang tunai (أداءً), kiranya baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.

Adapun kalau seseorang itu memulai mendirikan sembahyang, sedang tempoh waktu sembahyang yang masih berbaki hanya cukup untuk memenuhi fardhu-fardhunya sahaja, maka harus baginya melakukan tuntutan sunat dalam sembahyang, bahkan inilah yang afdhal menurut pendapat yang mu‘tamad sebagaimana dalam kitab an-Nihayah, sekalipun akan terkeluar sembahyang atau sebahagiannnya daripada waktunya.

Wajib Muwassa‘  Dan Mudhaiyaq

Para ulama ushul fiqh menjelaskan bahawa apabila Allah Ta‘ala memerintahkan melakukan satu-satu ibadat dalam satu jangka tempoh tertentu, maka hal ini perlu ditinjau dan dianalisis. Jika ibadat berkenaan meliputi keseluruhan waktu atau tempoh yang diperuntukkan untuknya, seperti puasa bulan Ramadhan, maka kewajipan melakukannya melibatkan keseluruhan waktunya itu.  Oleh sebab itu wajiblah dilakukan ibadat berkenaan sebaik saja waktunya tiba sehingga berakhir tempoh waktu kewajipan itu. Perintah wajib jenis ini disebut sebagai wajib mudhaiyaq.

Jenis perintah wajib ini tidak ada ruang melambat atau menangguhkannya, kerana apabila dilambatkan daripada waktunya bermakna telah mengeluarkannya daripada waktunya dan ini tidak boleh berlaku. Jika hal ini berlaku, bukan dinamakan melambatkan lagi, tetapi meninggalkan perintah wajib. Jadi, perintah jenis ini tidak ada istilah melambatkan, dan yang ada ialah sama ada menunaikan atau meninggalkan kewajipan.

Tetapi sekiranya ibadat itu mempunyai tempoh waktu yang panjang dan tempoh melaksanakan perintah ibadat itu tidak meliputi seluruh waktu yang ditetapkan, seperti perintah ibadat sembahyang, maka perintah wajib seperti ini dikatakan sebagai wajib muwassa‘.

Jenis perintah wajib kedua ini, jika tidak ditunaikan pada awal waktu, sedangkan kewajipan sudah bermula di awal waktu, akan tetapi dilakukan masih dalam tempoh waktunya yang luas itu, maka inilah dikatakan sebagai melambat-lambatkan.

Sebagai contoh, sembahyang zuhur wajib dilakukan apabila waktunya masuk. Waktu yang ditetapkan melakukan kewajipan sembahyang fardhu zuhur ini misalnya 3 jam  bermula jam 12.00 tengah hari sehingga jam 3.22 petang.

Apabila tepat jam 12.00 tengah hari, orang yang berkewajipan terus istinja’, berwudu’, menutup aurat (berpakaian), azan, sembahyang sunat rawatib 2 raka’at atau 4 raka’at, iqamah, kemudian barulah menunaikan perintah wajib, iaitu sembahyang fardhu Zuhur. Tindakan seperti ini dinamakan telah menunaikan perintah wajib.

Walaupun tidak terus melakukan fardhunya yang asas sebaik saja masuk waktu, perbuatan itu telah dinamakan menyahut atau menunaikan kewajipan, kerana perbuatan istinja’, berwudhu’, menutup aurat, azan, sembahyang sunat qabliah, dan iqamah, merupakan satu tuntutan sunat dan kesempurnaan fardhu. Kesemua perbuatan ini berakhir jam 12.30 tengah hari dan mengambil masa lebih kurang selama 30 minit.

Dari keterangan dan contoh di atas dapatlah diketahui bahawa pengertian melambatkan, iaitu tidak melakukan kewajipan sebaik saja tiba waktu kewajipan, tetapi lewat melakukannya sebelum tempoh waktunya berakhir.

Iklan