Saf-Saf Sholat (1/3)


shalat gaibSaf-Saf Sholat (1/3)

Pengertian saf dari segi bahasa adalah barisan yang lurus daripada setiap sesuatu, seperti saf dalam sembahyang jemaah, peperangan dan sebagainya. Manakala pengertiannya dari segi istilah pula tidak lari maknanya dengan pengertian dari segi bahasa. Apa yang ingin dijelaskan di sini penjelasan mengenai masalah-masalah saf dalam sembahyang berjemaah.

Saf Dalam Sembahyang Jemaah

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya janganlah ada sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sama dan tidak lurus saf mereka. Ketika makmum berdiri, mereka hendaklah meluruskan saf dalam keadaan berdekatkan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit makmum yang lainnya sehingga tidak ada ruang yang kosong dan renggang. Maka dalam hal ini, imam adalah disunatkan menyuruh makmumnya meluruskan saf-saf mereka sebagaimana yang sering kita dengar sebelum imam mendirikan sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Luruskanlah saf di dalam sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk keelokan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)

Mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya wajib. Barangsiapa yang melampaui batas (barisan) adalah haram hukumnya, kerana suruhan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis Baginda supaya meluruskan saf adalah menunjukkan perintah wajib. Hal ini jelas diterangkan dengan adanya ancaman mengenainya melalui sebuah hadis yang memerintahkan taswiyyah (meluruskan saf). Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sungguh kamu mahu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Syarah Shahih Muslim ada menyatakan pendapat-pendapat atau qaul mengenai maksud hadis di atas. Di antaranya pendapat yang mengatakan bahawa maksud “Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu” ialah mengubah atau menukarkan shurah atau bentuk rupanya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Allah menjadikan bentuk rupanya dengan bentuk keledai”. (Hadis riwayat Bukhari)

Pendapat yang azhhar bagi maksud hadis di atas itu, ialah terjadi di antara mereka (orang yang tidak meluruskan saf) permusuhan, kebencian dan perselisihan lubuk hati. (Syarah Shahih Muslim 3/131)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Hajar tidak meluruskan saf dalam sembahyang jemaah itu tidaklah membatalkan sembahyang. (Al-Mausu’ah Al-Feqhiah 27/35-36)

 Keutamaan Memenuhi Saf Pertama

Telah sepakat para fuqaha adalah sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian baharulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya, berdasarkan hadis-hadis yang shahih menyentuh perkara ini. Di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Oleh yang demikian tidak digalakkan ke atas jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya.

Adalah disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberi ruangan kepada makmum yang hendak masuk ke saf tersebut selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya)”. (Hadis riwayat Abu Daud)

***

Kiriman Arland

Iklan