Sejarah Perkembangan Ilmu Hadis


Khadijah Binti KhuwailidSejarah Perkembangan Ilmu Hadis

Dikelolakan Oleh: MC YA

Sesungguhnya ilmu hadis merupakan salah satu cabang ilmu yang diwarisi daripada ulamak-alamak silam. Ilmu hadis yang tersedia ada sekarang sebenarnya telah melalui beberapa peringkat sehinggalah ianya menjadi satu cabang ilmu yang unik dalam islam. Jika diperhatikan dengan teliti, kita dapati sejarah perkembangan ilmu Hadis merupakan satu gambaran praktikal bagaimana Allah swt.menjaga kalam suci nabi Muhammad saw. sehingga sekarang dan menjaganya daripada ditokok tambah sebagaimana dia memelihara kesucian Al-Qur’an. Penjagaan ini jelas kita perhatikan melalui para muhaddis dalam meriwayatkan hadis dengan mementingkan kepada persoalan sanad atau jalan hadis sehinggakan Ibn Salam pernah berkata “Sesungguh sanad itu sebahagian daripada agama, kalaulah tidak kerana adanya sanad nescaya mudahlah orang bercakap apa saja yang dia suka”.

PERINGKAT PERTAMA: PERINGKAT PERTUMBUHAN

Peringkat ini bermula daripada zaman sahabat sehinggalah ke akhir kurun pertama hijrah atau lebih jelas lagi ianya bermula selepas daripada kewafatan baginda Rasulullah saw. Pada zaman Rasulullah saw masih hidup, sudah ada usaha-usaha untuk mengumpul dan menulis hadis sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Amru.

Perkara ini diakui oleh Abu Hurairah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Beliau mengakui Abdullah bin Amru lebih banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah hanya disebabkan beliau menulis hadis dan Abu Hurairah tidak menulis. Namun begitu ada hadis yang melarang sahabat-sahabat baginda daripada mencatit apa-apa yang berkaitan dengan Rasulullah kerana takut ianya boleh melalaikan mereka daripada al-Quran.

Tetapi ulamak telah memberi pandangan bahawa ada hadis yang membenarkan mereka mencatat dan menulis, secara langsung ia telah memansuhkan hadis yang melarang.

Selain itu Khalifah Umar pernah menyarankan proses mengumpul hadis, tetapi setelah beliau beristikharah salama sebulan maka natijahnya, beliau menolak cadangan mengumpul hadis dalam bentuk penulisan ekoran daripada sikap ambil beratnya terhadap Sunah takut ianya bercampur aduk dengan kalam Allah.

Percubaan Saidina Umar ini menunjukkan kepada kita bahawa pengumpulan hadis dari sudut hukum adalah harus dan beliau tidak berbuat demikian adalah kerana dikhuatiri sahabat pada waktu itu lebih tertumpu kepada Sunnah tidak kepada kitab Allah.

Sikap ambil berat sahabat terhadap sunnah juga dapat kita perhatikan melalui usaha mengumpul dan memastikan kesahihan hadis sehinggakan mereka sanggup bermusafir beribu batu dengan hanya menaiki unta semata-mata untuk mencari hadis sahih sebagaimana yang berlaku ke atas Jabir bin Abdullah yang bermusafir selama sebulan ke negeri Syam, mencari dengan Abdullah bin Unais al-Ansari bagi mendapatkan hadis daripada Rasulullah saw.

Begitu juga sebelum berakhirnya zaman sahabat telah kedapatan Sunnah dalam bentuk pengumpulan dan pembukuan antaranya ” as-Sahiifah as-Saadiqah” oleh Abdullah bin Amru, ” as-Sahiifah” oleh Jabir bin Abdullah al-Ansaari, ” as-Sahiifah as-Sahiihah” oleh Hamam bin Munabbih dan ” sahiifah Ali” oleh Saidina Ali.

Begitulah perjalanan Sunnah pada kurun pertama.

PERINGKAT KEDUA: PERINGKAT PENGUMPULAN

Peringkat ini bermula dari awal kurun ke dua hingga ke awal kurun ketiga hijrah. Pada peringkat ini boleh dikatakan ilmu hadis telah sempurna dikumpul dan dibukukan. Hal demikian memandangkan kepada beberapa faktor yang mendorong ulama supaya membukukan sunnah.

Antara faktor-faktor tersebut, kurangnya daya ingatan manusia pada zaman itu tidak sebagaimana yang zaman sahabat dan taabi’iin. Ianya telah diakui oleh Imam az-Zahabi dalam kitabnya “Tazkiratul Huffaz”. Begitu juga telah lahirnya ajaran sesat serta kumpulan yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar seperti Mu’tazilah, Khawarij dan lain-lain.

Faktor tersebut telah mendorong Kalifah Umar bin Abdul Aziz selaku pelopor kepada pembukuan Sunnah ini, mengarahkan ulamak untuk mengumpul segala hadis dengan tujuan untuk menyelamatkan Sunnah daripada penyelewengan dan hadis-hadis Maudhu’ (hadis yang direka dan dinisbahkan kepada Rasul).

Begitu juga pada waktu itu telah timbulnya cabang ilmu hadis iaitu ilmu ” al-Jarh wa at-Ta’diil” bagi mengkritik periwayat hadis. Hal ini penting untuk menyelamatkan Sunnah daripada tujuan buruk mereka mencipta hadis semata-mata untuk kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu.

Ulama telah mula berhati-hati didalam mengambil hadis daripada periwayat hadis dan tidak meriwayatkan hadis daripada periwayat hadis yang tidak dikenali peribadinya. Ulama hadis telah memberikan perhatian khusus pada isi hadis dan sanadnya.

Begitulah berakhirnya peringkat kedua.

PERINGKAT KETIGA: PERINGKAT PEMBUKUAN SECARA SPESIFIK

Peringkat ini bermula dari kurun ketiga sehingga pertengahan kurun keempat Hijrah. Kurun ketiga merupakan kurun keemasan bagi Sunnah Nabawiyyah kerana jika dilihat daripada sudut perkembangan ilmu Hadis, kita nampak pada kurun ini Sunnah telah dibukukan secara keseluruhan.

Ulama Hadis telah mempelbagaikan pembukuaan Sunnah dan ini menunjukkan kepada kita bahawa seninya Ulamak Hadis dalam membukukan Ilmu Hadis sebagai contoh: ada Ulamak membukukan hadis dalam bentuk Masaanid yang membawa maksud, kumpulan hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh para sahabat, seperti ” Musnad Imam Ahmad”.

Manakala Imam Bukhari dan Muslim pula mengumpul hadis dalam bentuk ” al-Jaami’ as-Sahiih” yang bermaksud, kumpulan hadis-hadis yang meliputi sebahagian besar perkara-perkara penting dalam agama termasuklah fiqih, Hari Kiamat, Adab, Sirah dan lain-lain.

Pada waktu ini juga, telah wujudnya ilmu khas tentang jenis-jenis hadis seperti Hadis sahih, Hasan, Mursal, dan sebagainya.

PERINGKAT KEEMPAT: ZAMAN PENULISAN SENI-SENI ILMU HADIS

Bermula dari pertengahan kurun ke empat hingga permulaan kurun ke tujuh, ulamak pada waktu ini dengan bantuan daripada apa yang telah ditinggalkan oleh ulamak-ulamak sebelum ini telah mengembangkan lagi ilmu hadis kepada keadaan yang lebih baik. Maka kita dapat lihat hasil yang dicurahkan oleh generasi ini alam buku-buku seperti:

Hide message history

  1. al-Muhdis al-Faasil bayna ar-Raawi wal al-wa’yii — al-Qadhi Abu Muhammad al-Waamahramzi
  2. al-Kifaayah fii i’lmi il-Riwaayah –al-Khatiib al-Baghdaadi
  3. al-Ilmaa’ fii Usuul il-Riwaayah wa as-Samaa’ –al-Qaadhi I’yaadh

Buku-buku yang dihasilkan pada zaman ini boleh dianggap sebagai sumber utama ( al-Masaadir al-Asliyyah) dalam ilmu ini. Antara ulamak yang memainkan peranan utama pada zaman ini ialah al-Khatiib al-Baghdaadi dan al–Haakim an-Niisaabuuri.

PERINGKAT KELIMA: PERINGKAT KEMATANGAN

Bermula dari kurun ketujuh hingga kurun kesepuluh. Pada waktu inisetiap cabang ilmu hadis telah siap dibukukan. Antara ulamak yang mengepalai perkembangan pada masa ini ialah Ibnu Solaah yang telah mengarang kitabnya yang masyhur “uluum ul-Hadiis” Buku ini adalah yang terbaik kerana mempunyai ciri-ciri :

  1. Mempunyai Istinbat yang mendalam tentang pendapat ulamak dan kaedah-kaedah mereka
  2. menyusun takrif-takrif dan istilah ilmu hadis berdasarkan kepada pandangan ulamak tedahulu.

iii. Menyelidiki sendiri pandngan ulamak terdahulu.

Kitab Ibnu Solaah ini menjadi panduan kepada mereka yang datang selepasnya dan ada yang meringkas balik kitab tersebut dan ada juga yang mensyarah balik dalam bentuk yang lebih terperinci.

Antara kitab yang dihasilkan pada masa itu selain kitab ” uluum ul-Hadiis” ialah

  1. al-Irsyaad oleh Imam Nawawi
  2. al-Tabjirah wa at-Tazkirah oleh Haafiz ul-Iraaqi
  3. lain-lain

PERINGKAT KE ENAM: PERINGKAT TERBANTUTNYA ILMU HADIS

Bermula dari kurun ke sepuluh hingga ke awal kurun ke dua puluh. Pada waktu ini telah terhentinyazaman perkembangan ilmu hadis diaman ilmu hadis telah sempurna sebagaimana diperingkat yang sebelumnya. Begitu juga kita tengok, waktu ini telah terhenti ijtihad dalam aspek keilmuan memandangkan kepada kurangnya ulamak yang berwibawa serta tersebarnya fitnah akhir zaman. Manusia pada waktu itu hanya mengikut apa yang telah dihasilkan oleh ulamak terdahulu. Pada waktu ini ulamak hadis hanya meringkaskan dalam bentuk baru kitab-kitab lama supaya ianya mudah difahami samaada dalam bentuk Syair ataupun al-Manzuumah (prosa) ” al-Manzuumah al-Baiquuniyyah”.

PERINGKAT KE TUJUH: PERINGKAT KEMBALI

Bermula dari awal kurun ke dua puluh hingga sekarang. Pada masa ini, ulamak mula sedarakan bahaya yang dihadapi oleh Sunnah yang mana terdedah kepada ancaman orientalis yang cuba sedaya upaya untuk mengelirukan mata masyarakat tentang Sunnah Nabawiyyah.

Oleh itu ulamak telah bangkit dengan penulisan serta buku-buku untuk menangkis semula pemikiran-pemikiran yang merbahaya tentang Sunnah. Antara kitab-kitab yang dihasilkan ialah:

  1. Qawaai’du ut-Tahdiith oleh Syeikh Jamaluddin al-Qaasimi
  2. al-Hadiith wa al-Muhaddithuun oleh Syikh al-Duktuur Muhammad Abu Zahrah.

III. Lain-lain

Begitulah turutan perkembangan ilmu hadis dari zaman Rasulullah sehinggalah kezaman kita sekarang ini. Kita bersyukur kepada Allah kerana Hadith-hadith Rasul telah dijaga oleh ulamak dengan penjagaan yang begitu rapi sehingga hadith-hadith dapat sampai kepada kita pada hari ini. Semoga usaha-usaha yang dijalankan oleh mereka mendapat tempat disisi Allah swt.. Kita sebagai generasi yang telah jauh daripada suasana ilmu yang di tunjukkan oleh salafus us-Sooleh seharusnya berusaha untuk mendekatkan diri dengan Sunnah dan beramal denganya.

Wallahu a’lam

***

Kiriman Ukhti Retno Wahyudiaty

Iklan